Tips Kejayaan
Dipetik dari Majallah Anis, Bil 185, ms 50-51
Salam Nur-Nur ku,
Pantaslah menyesuaikan diri dengan perubahan dan persekitan. Perkara biasa jangan dianggap serius dan perkara kecil jangan dirasakan besar. Kawal emosi di suasana baru. Enjoy dengan kenalan baru dan guru-guru baru.
Kegagalan silam jadikan semangat. Ingatlah kegagalan lampau tidak sama dengan pencapaian masa depan. Apabila berada di tahun baru, semuanya bermula dengan permulaan yang sama, peluang yang sama. Cepatlah belajar dan bijaklah mengurus masa. Sedarlah akan kesilapan lalu dan berjanji di hati agar tidak akan mengulanginya, sebaliknya berusaha mengatasi dan memperbaiki diri.
Cara paling efektif bagi memastikan sebuah kejayaan ialah paksa diri untuk berdisiplin dan belajar awal. Selesaikan perkara yang tidak tahu dan tidak faham dengan segera. Belajar awal akan lebih tersusun jadualnya dan mempunyai banyak masa untuk perkara lain berbanding dengan mereka yang belajar di saat-saat terakhir. Tekanan belajar juga kurang dan kesihatan diri serta minda lebih bagus.
Apabila perlu membuat pemilihan dan keputusan, buatlah yang terbaik. Buat pemilihan yang bijak dan usah malu bertanya pada guru, kawan dan senior. Pilih yang berminat dan boleh memberi impak kepada diri di masa hadapan. Lakukanlah solat istikarah agar diberiNya panduan.
Berusahalah menonjolkan diri secara positif dengan banyak bertanya, rajin membantu, mudah bergaul dan cepat serasi dengan guru-guru. Oleh itu peluang menjadi ketua kelas, pengawas, wakil kelas, pengerusi persatuan dan ahli jawatankuasa akan terbuka luas. Semua orang suka apabila dirinya diberi perhatian. Ini akan membantu peningkatan kemahiran diri dan peluang di masa hadapan.
Hidup pasti berdepan dengan masalah. Setelah selesai satu masalah, datang pula masalah yang lain. Segeralah selesai masalah dengan berbincang dengan umi/ayah kerana umi/ayah sentiasa di sini untuk membantu. I'm all ears! Kalau perlu selesai dengan guru, kawan atau senior, selesaikanlah dengan segera, secara bijaksana dan berhikmah. Usah biarkan sesuatu masalah begitu sahaja hingga mengganggu prestasi pelajaran. Ada masalah yang akan hilang begitu sahaja ditelan masa, tetapi ada pula masalah yang menelan kita. Cara terbaik berhadapan dengan masalah ialah usah cipta masalah. Kalau kita malas, buang masa, datang lewat, tidur dalam kelas, sombong, suka mengata/mengejek, terlibat dalam cinta monyet dan sebagainya, maka kita mencipta masalah.
Akhir kata, sentiasalah berdoa dan merintih kepadaNya. Bangunlah separuh malam memohon agar kehidupan kita semuanya diberkati dan dirahmatiNya.
"Fight until the end"
Ummi
No comments:
Post a Comment